Sunday, October 25, 2009

Pengenalan Masalah Pembelajaran

Tidak semua kanak-kanak dapat menerima dan menguasai pembelajaran seperti yang diharap dan dirancang. Terdapat beberapa golongan kanak-kanak yang tidak bernasib baik sehingga menghalang proses pembelajaran berlaku dengan baik dan cemerlang. Antara golongan itu adalah kanak-kanak bermasalah pembelajaran.

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah mereka yang mempunyai masalah neurologikal hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan, penulisan, berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik (Mohd. Sharani, 2004).

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran mempunyai masalah kognitif atau kerencatan mental yang dianggap boleh diajar dan boleh mendapat manfaat pendidikan secara formal. Istilah ‘bermasalah pembelajaran’ telah diketengahkan oleh Samuel Kirk pada tahun (1963). Beliau berpendapat, masalah pembelajaran sebagai kelewatan perkembangan dalam satu atau lebih daripada proses pertuturan, pembacaan, penulisan atau mata pelajaran sekolah lain.

Mereka tidak mempunyai kebolehan bagi mengikuti pelajaran secara formal seperti pelajar lain. Justeru itu, mereka tidak mempunyai kebolehan untuk maju dan bergerak secara normal di sekolah. Manakala prestasi mereka pula, menunjukkan bahawa mereka tidak dapat membuat kerja-kerja kelas yang sesuai dengan umur mereka. Jika dibandingkan dengan murid lain dalam lingkungan umur yang sama, mereka menunjukkan kelemahan yang nyata dalam pelajaran.

Mereka biasanya tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh guru yang menggunakan kaedah dan prosedur pengajaran yang biasa disebabkan oleh jangka penumpuan yang pendek dan kurang kebolehan memindahkan perkara-perkara yang dipelajari. Mereka juga memerlukan lebih dorongan dan benda-benda yang nyata ketika belajar.

Pelbagai kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran telah dispesifikasikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) antaranya sindrom down, autisme ringan, hiperaktif, terencat akal minima, lewat perkembangan, disleksia dan pelbagai kategori lain yang menjadi tanggungjawab kementerian ini. Kanak-kanak ini akan berada di bawah satu program pendidikan yang khusus di sekolah-sekolah integrasi yang terpilih.

No comments:

Post a Comment